

MIRI: Seorang lelaki cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Simpang Penjara Lambir, di sini, pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 8.44 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada 8.59 pagi, didapati seorang mangsa lelaki yang merupakan pemandu Proton Saga Iswara masih berada di dalam kenderaan berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.
Mangsa berusia 40 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki kanan dan telah diberikan rawatan awal oleh anggota Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
Manakala, pemandu kenderaan pacuan empat roda dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Operasi itu tamat sepenuhnya pada 9.14 pagi.
Oleh Liong Chai Ling