

MIRI: Sebuah rumah dua tingkat jenis struktur kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Jalan Bomba Airport, awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada 1.56 pagi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Komander Operasi, PBK II Jukarnain Jon, memaklumkan rumah berkenaan yang berkeluasan kira-kira 20 x 40 kaki persegi terbakar 100 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat kerana rumah tersebut difahamkan tidak berpenghuni ketika kejadian berlaku.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membentangkan satu aliran sepanjang 300 kaki menggunakan satu bukaan pada dinding dan dua nozel bagi memadam kebakaran,” katanya.
Selepas api berjaya dikawal, anggota bomba turut menjalankan kerja-kerja pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan tiada lagi sisa kebakaran yang boleh mencetuskan semula api.
Oleh Liong Chai Ling