
KUCHING: Borneo Highland Orchard kini mula menghasilkan cendawan butang di fasiliti penanaman miliknya di Sarawak dengan pengeluaran melebihi 2,300 kilogram bagi satu kitaran penanaman selama tiga bulan.
Pengurus Eco Farm Solutions Sdn Bhd, Izzy Ng berkata, operasi penanaman cendawan di fasiliti berkenaan bermula pada Disember tahun lalu.
Menurutnya, kemudahan tersebut merupakan satu-satunya pusat penanaman cendawan yang dibangunkan dan dimiliki oleh Borneo Highland Orchard di negeri ini setakat ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di fasiliti penanaman cendawan Borneo Highland Orchard yang terletak di ibu pejabat Green Breeder di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom yang mengadakan lawatan kerja ke lokasi berkenaan.
Izzy berkata, hasil cendawan yang dikeluarkan pada masa ini dipasarkan secara terhad ke beberapa premis terpilih di Kuching dan Sibu.
Menurutnya, langkah mengehadkan pengedaran dibuat bagi memastikan tahap kesegaran dan kualiti produk sentiasa terpelihara.
“Ketika ini, bekalan dihantar ke beberapa premis seperti Emart, Choice serta kedai khusus yang menjual produk daging babi dengan jumlah sekitar 10 kilogram setiap bulan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa cendawan berkenaan perlu disimpan pada suhu di bawah empat darjah Celsius bagi mengekalkan kesegarannya.
“Jika disimpan dalam keadaan yang sesuai, cendawan tersebut boleh bertahan sehingga tujuh hari,” tambahnya.
Oleh Adele Rissa