
KABONG: Sebanyak RM71,000 diperuntukkan kepada jawatankuasa pengurusan masjid dan surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong bagi menyokong pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata peruntukan tersebut merupakan usaha berterusan bagi memastikan institusi masjid dan surau terus berfungsi sebagai pusat ibadah serta aktiviti kemasyarakatan umat Islam di kawasan berkenaan.
Beliau berkata bantuan itu juga bertujuan membantu pihak pengurusan masjid dan surau melaksanakan pelbagai program keagamaan sepanjang Ramadan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Sebanyak RM71,000 telah diperuntukkan kepada jawatankuasa pengurusan masjid-masjid dan surau-surau di kawasan DUN Kabong bagi menyokong pelaksanaan aktiviti sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.
Majlis penyerahan ringkas sumbangan kepada jawatankuasa pengurusan masjid dan surau tersebut telah diadakan di Pusat Khidmat ADUN Kabong, petang tadi.

Menurut beliau, peruntukan itu boleh dimanfaatkan bagi penganjuran program keagamaan, pengimarahan masjid serta aktiviti kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat sepanjang bulan Ramadan.
Untuk makluman, di kawasan DUN Kabong terdapat sebanyak enam buah masjid dan 12 surau yang sentiasa memainkan peranan penting sebagai pusat ibadah serta aktiviti kemasyarakatan umat Islam di kawasan tersebut.
Chee Kadir berharap agar sumbangan yang disalurkan itu dapat membantu memudahkan urusan pengurusan masjid dan surau selain memeriahkan lagi aktiviti keagamaan sepanjang Ramadan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan tersebut demi kesejahteraan dan kebajikan masyarakat Islam di kawasan DUN Kabong.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah pengerusi-pengerusi masjid dan surau dari seluruh kawasan DUN Kabong bagi menerima sumbangan yang disalurkan kepada institusi masing-masing.
Oleh Adi Safarman