
LONDON: Pengurus Arne Slot menegaskan masalah kecederaan menjadi faktor utama yang menjejaskan usaha Liverpool mempertahankan gelaran Liga Perdana musim ini.
The Reds mengalami kekalahan kesembilan liga musim ini selepas tewas 1-2 kepada Wolvehampton Wanderers Selasa lalu dan bakal kembali ke Stadium Molineux untuk aksi pusingan kelima Piala FA pada Jumaat.
Menurut Slot, ketiadaan pemain kreatif seperti Florian Wirtz yang terlepas tiga perlawanan akibat kecederaan belakang memberi kesan besar kepada corak permainan Liverpool.
Malah, penyerang yang dibeli dengan rekod perpindahan British, Alexander Isak juga terpaksa diketepikan sejak pertengahan Disember selepas mengalami patah kaki.
“Saya fikir kita dapat lihat pemain individu semakin meningkat, tetapi kemajuan itu sering terganggu disebabkan kecederaan,” kata Slot.
“Salah seorang pemain yang mampu mencipta banyak peluang daripada permainan terbuka ialah Wirtz, tetapi malangnya dia cedera tiga perlawanan lalu.
“Sebelum itu, dia banyak membantu mencipta peluang dan memberi keseimbangan kepada pasukan. Selepas itu kami perlu menyesuaikan diri semula dan perkara ini berlaku beberapa kali musim ini.”
Kepentingan situasi bola mati turut menjadi perhatian kebelakangan ini, terutama selepas Arsenal menggunakan kelebihan tersebut untuk mendahului liga dengan kelebihan tujuh mata.
Liverpool sebelum ini bergelut dalam situasi bola mati, sama ada ketika menyerang atau bertahan, namun menunjukkan peningkatan sejak awal tahun ini.
Mereka menjaringkan tiga gol hasil sepakan penjuru pada separuh masa pertama ketika menewaskan West Ham United 5-2 hujung minggu lalu.
“Kami bukan satu-satunya pasukan yang sukar mencipta peluang daripada permainan terbuka,” kata Slot.
“Ia juga bergantung kepada tahap Liga Perdana dan kekuatan lawan yang dihadapi.”
Slot dijangka melakukan beberapa perubahan untuk pertemuan kedua menentang Wolves minggu ini, namun masih berhati-hati mengenai peluang Wirtz untuk beraksi.
“Dia berlatih separuh bersama pasukan semalam, jadi itu satu perkembangan positif dalam proses pemulihannya,” kata Slot.
“Kita lihat keadaannya hari ini dan mungkin dia boleh bermain beberapa minit dalam senario terbaik.”
Bahagian pertahanan Liverpool paling teruk terjejas apabila Conor Bradley dan Giovanni Leoni mengalami kecederaan yang menamatkan musim, manakala Joe Gomez serta Jeremie Frimpong turut lama berada di bilik rawatan.
Bagaimanapun, Slot menolak dakwaan bahawa Liverpool sepatutnya menambah kedalaman skuad walaupun kelab itu berbelanja kira-kira £450 juta pada jendela perpindahan musim panas lalu.
“Saya memang tahu sejak datang ke sini bahawa ini adalah model kelab dan saya gembira dengannya,” katanya.
“Cuma ia lebih menyakitkan apabila tiga atau empat pemain mengalami kecederaan jangka panjang.” – AFP