Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Pemberian kepada kerajaan negeri dijangka cecah RM10.5 bilion tahun ini – PM Anwar  
  • SEMASA

Pemberian kepada kerajaan negeri dijangka cecah RM10.5 bilion tahun ini – PM Anwar  

Utusan Sarawak 6 hours ago
PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) hadir ke Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2026 di Kementerian Kewangan, Kuala Lumpur, hari ini. Turut kelihatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof (dua,kanan). Foto Bernama

PUTRAJAYA: Majlis Kewangan Negara (MKewN) hari ini bersetuju meningkatkan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri yang dijangka mencecah RM10.5 bilion tahun ini daripada RM10.3 bilion pada 2025, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF memaklumkan MKewN turut bersetuju menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri, khususnya Pemberian Senarai Bersama, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri dan agihan Cukai Pelancongan.

Pemberian Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan MADANI meningkat daripada RM8.1 bilion pada 2022 kepada RM10.3 bilion pada tahun lepas, tambah MOF.

“Peningkatan ini adalah rentetan kenaikan kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (PMBO) bermula 2026 seperti yang digariskan oleh Kerajaan MADANI. Bagi meningkatkan kemampanan aliran tunai kerajaan negeri, MKewN turut bersetuju dengan penambahbaikan mekanisme penyaluran di bawah Senarai Bersama,” menurut MOF dalam kenyataan hari ini.

PERDANA Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (duduk, tengah) bergambar kenangan pada Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2026 di Kementerian Kewangan, Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI komited untuk menambah baik pemberian Kerajaan Persekutuan kepada semua kerajaan negeri setiap tahun demi manfaat seluruh rakyat, tanpa mengira negeri atau wilayah.

“Seperti yang termaktub dalam kerangka Ekonomi MADANI, limpahan hasil negara mesti diagih secara saksama dan bertunjangkan tatakelola baik,” kata beliau dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata kerajaan MADANI sentiasa terbuka untuk bekerjasama erat dengan semua kerajaan negeri, tanpa mengambil kira pendirian politik.

“Penambahbaikan pemberian ini penting untuk memperhebat pembangunan sosioekonomi dan prasarana kritikal agar kita dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai satu negara,” kata beliau.

Menurut MOF MKewN juga bersetuju untuk penyaluran lebih awal bagi semua pemberian di bawah Senarai Bersama.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan Persekutuan juga akan menyalurkan sepenuhnya 100 peratus kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri masing-masing, berbanding dengan amalan semasa untuk berkongsi hanya 50 peratus kutipan,” tambah MOF.

MOF menambah bagi MKewN 2026, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri telah ditambah baik dengan peluasan skop untuk merangkumi perolehan Jambatan Panel Keluli Bermodular (Bailey Bridge), pembaikan dan pembesaran longkang serta parit di jalan negeri.

Langkah yang dipersetujui pada MKewN tahun ini menumpukan kepada peningkatan kelestarian ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di setiap pelosok tanah air, selaras dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI untuk menaikkan siling potensi pertumbuhan negara dan menaikkan lantai darjat hidup rakyat, menurut MOF.

Terdahulu, Anwar mempengerusikan Mesyuarat MKewN Tahun 2026 yang berlangsung di MOF di sini.

Mesyuarat bermula 3.00 petang di bangunan Perbendaharaan itu turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh; dan Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.

Mesyuarat tahunan itu adalah platform bagi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berunding serta memutuskan secara kolektif perkara berkaitan kewangan antara kedua-dua pihak.

Antara pemimpin negeri yang hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow; Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain itu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud; serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

-Bernama

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: ‘Blok Borneo’ adalah realiti perlembagaan – Sebastian Ting
Next: Nasihat perjalanan rakyat Malaysia di tujuh negara Asia Barat masih berkuat kuasa

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.