FAIZAL BUJANG
PENGURUS Pasukan Bola Sepak SUKMA Sarawak, Abdillah Majid ternyata gembira dengan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (SUKMA) XX Johor 2020 membenarkan pemain yang telah didaftar untuk menyertai temasya berkenaan walaupun umur mereka melebihi had ditetapkan sebelum ini.
Menurut Abdillah, ia memberi kelegaan kepada pihaknya sekali gus berupaya menghadirkan semangat buat pemain untuk terus fokus.
“Kita gembira dengan keputusan itu dan saya percaya pemain juga lega kerana akan dapat meneruskan fokus terhadap persiapan bagi menghadapi temasya itu kelak,” ujar Abdillah ketika mengulas perkara itu.
Sebelum ini kata Abdillah, pihaknya tidak senang duduk memikirkan akan berlaku perubahan format yang membabitkan status umur pemain berikutan penangguhan SUKMA XX Johor 2020.
Bagaimanapun tambah Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu, persoalan tersebut sudahpun diketahui sepenuhnya.
Apa yang penting sekarang Abdillah mahu mengajak semua pihak untuk bersama-sama berdoa agar musibah virus Covid-19 akan pulih sepenuhnya.
Ini kerana barisan anak-anak buahnya kini terpaksa menjalani latihan secara sendirian di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu sehingga 12 Mei depan.