Newcastle United menjadi tuan rumah kepada Manchester United di Stadium St James Park. Foto AFP
LONDON: Newcastle United bangkit penuh dramatik apabila menewaskan Manchester United 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Michael Carrick sebagai pengurus interim, awal pagi tadi.
Turun beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua, Newcastle tetap kental sebelum William Osula muncul wira dengan jaringan solo menakjubkan pada saat akhir perlawanan untuk mengejutkan United yang berada di tangga ketiga liga.
Kekalahan itu menyaksikan United kini ketinggalan sembilan mata di belakang tempat kedua, Manchester City, yang turut tercicir mata selepas seri 2-2 dengan Nottingham Forest.
Perlawanan di St James’ Park itu bertukar panas dalam 10 minit masa kecederaan babak pertama.
Jacob Ramsey dilayangkan kad kuning kedua pada minit 45+1 selepas pengadil menganggapnya menjatuhkan badan.
Lima minit kemudian, Anthony Gordon menyempurnakan sepakan penalti – gol kesembilannya musim ini daripada sembilan percubaan – selepas diasak kapten United, Bruno Fernandes.
Namun United menyamakan kedudukan pada 45+9 apabila Fernandes mengambil sepakan percuma yang disudahkan Casemiro menerusi tandukan kemas.
Walaupun memiliki kelebihan seorang pemain, United gagal mendominasi separuh masa kedua, malah dilihat tertekan dengan asakan berterusan tuan rumah sebelum Osula memastikan tiga mata penuh buat Newcastle.
Chelsea pesta gol, Pedro cipta hatrik
Di Birmingham, Chelsea bangkit membelasah Aston Villa 4-1 hasil hatrik pertama Joao Pedro dalam EPL musim ini.
Villa terlebih dahulu di depan menerusi Douglas Luiz, namun Chelsea tampil garang selepas itu dengan Pedro meledak tiga gol untuk menjadikan jumlah jaringannya 14 musim ini, manakala Cole Palmer turut mencatat nama sebagai penjaring.
Kemenangan itu melonjakkan Chelsea ke tangga kelima dengan 48 mata, memintas Liverpool, manakala Villa kekal keempat dengan 51 mata selepas hanya dua kemenangan dalam sembilan aksi liga terakhir. – AGENSI