Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Pertukaran Wan Shaharuddin tidak jejas siasatan, pendakwaan SPRM – Azam
  • NASIONAL

Pertukaran Wan Shaharuddin tidak jejas siasatan, pendakwaan SPRM – Azam

Utusan Sarawak 9 hours ago
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki (tengah) ketika sidang media perkembangan siasatan kes SPRM di sini hari ini. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pertukaran Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin kepada jawatan Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak akan menjejaskan siasatan kes atau proses pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pertukaran pegawai berkenaan tidak akan mengganggu perjalanan kes yang sedang berjalan termasuk membabitkan perbicaraan di mahkamah.

“Ia tidak akan mengganggu siasatan dan proses pendakwaan. Saya telah dimaklumkan setakat ini, bahawa beliau akan diminta untuk meneruskan mana-mana kes yang masih tertangguh di bawah kendalian beliau,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Wan Shaharuddin yang berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di SPRM pada 2019, telah mengendalikan pelbagai kes berprofil tinggi.

Antaranya kes penyelewengan dana Armada membabitkan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan bekas ketua menteri Lim Guan Eng dan kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dihadapi bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau ditukarkan ke AGC mulai 2 Mac lepas.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azam berkata cadangan supaya prosiding kes rasuah di Mahkamah Rayuan distrim secara langsung merupakan sebahagian daripada langkah meningkatkan ketelusan badan kehakiman.

Beliau berkata langkah berkenaan dapat mencerminkan keterbukaan kerajaan dalam membolehkan orang ramai memahami sesuatu kes serta menyedari bahawa isu rasuah merupakan perkara serius yang perlu ditangani secara tegas di negara ini.

“Kes rasuah sering menjadi perhatian umum, sama ada media arus perdana mahupun media sosial. Sebelum ini, berlaku pelbagai dakwaan dan salah laku diperkatakan. Jadi dengan adanya siaran langsung, orang ramai boleh mendengar sendiri hujahan yang dikemukakan,” katanya.

Azam menjelaskan bahawa prosiding di Mahkamah Rayuan bukanlah perbicaraan melibatkan soal jawab saksi, sebaliknya tertumpu kepada penghujahan undang-undang antara pihak pendakwaan dan pihak pembelaan.

Menurutnya, melalui siaran langsung itu, rakyat dapat menilai sendiri asas hujahan yang dikemukakan kedua-dua pihak sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap sistem kehakiman negara.

Azam sebelum ini dilaporkan mengemukakan cadangan berkenaan yang bertujuan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap proses kehakiman berikutan terdapat segelintir pihak menggunakan media sosial untuk memanipulasi fakta yang didedahkan di mahkamah sehingga mengundang tohmahan tidak sepatutnya. – Bernama

Continue Reading

Previous: Warga Malaysia dinasihatkan tangguh perjalanan tidak penting ke 7 negara Asia Barat
Next: Tengku Zafrul dilantik Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.