
SARIKEI: Keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan asas penting dalam memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara berterusan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Dato’ Sri Huang Tiong Sii, berkata dalam menghadapi perubahan dan cabaran semasa, masyarakat perlu terus mengamalkan sikap bertoleransi, berfikiran positif serta berganding bahu demi membina masa depan yang lebih baik.
“Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati kebebasan beragama sentiasa menekankan kepentingan perpaduan serta keharmonian antara kaum sebagai asas kestabilan negara.
“Dalam menghadapi perubahan dan cabaran semasa, masyarakat perlu mengamalkan sikap bertoleransi, berfikiran positif serta berganding bahu demi membina masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2026 anjuran Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei, baru-baru ini.
Tambahnya, di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kerajaan Sarawak kekal komited memastikan kestabilan politik serta pembangunan berterusan demi kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan atas sokongan padu masyarakat di Parlimen Sarikei dan kawasan Repok sepanjang tempoh 10 tahun beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Pelbagai projek pembangunan telah dilaksanakan melalui peruntukan kerajaan termasuk menaik taraf infrastruktur asas, menambah baik kemudahan sekolah serta menyokong pembangunan institusi keagamaan.
“Sebelum ini, saya telah membangkitkan cadangan projek pelebaran Jalan Nyelong yang terletak berhadapan dengan Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei di DUN Sarawak dan memohon kelulusan kerajaan untuk menaik tarafnya kepada jalan empat lorong,” katanya.
Katanya, projek tersebut kini telah memulakan kerja pembinaan dan diyakini akan dapat memperbaiki aliran trafik dengan lebih berkesan, memudahkan kenderaan keluar masuk ke kawasan bandar serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Pembinaan pagoda tujuh tingkat yang sedang dilaksanakan oleh Persatuan Agama Buddha Orthodox Sarikei menunjukkan perkembangan yang baik dan dijangka menjadi mercu tanda baharu serta tarikan pengunjung ke sini pada masa akan datang”
Pada majlis yang sama, Tiong Sii turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada persatuan tersebut bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan serta pembangunan kemudahan persatuan.
Oleh Earl Anek