

RIYADH: Penyerang Al Nassr, Cristiano Ronaldo, dilaporkan meninggalkan Arab Saudi pada waktu malam susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat.
Menurut laporan Daily Mail, pemain berusia 41 tahun itu berlepas menaiki jet peribadi Bombardier Global Express 6500 miliknya yang bernilai £61 juta (kira-kira AS$81 juta).
Riyadh, lokasi kediaman Ronaldo bersama pasangannya Georgina Rodriguez serta lima anak mereka, disenaraikan antara bandar yang menjadi sasaran serangan balas Iran susulan serangan terdahulu melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.
Laporan menyatakan dua dron dipercayai menyerang Kedutaan Amerika Syarikat di ibu negara Arab Saudi itu pada waktu malam, manakala media kerajaan Iran turut mendakwa sebuah bangunan komando dan staf di Bahrain telah dimusnahkan.
Berikutan kebimbangan keselamatan yang semakin meningkat, warga asing mula meninggalkan beberapa kawasan di rantau berkenaan.
Data penjejakan penerbangan yang tular dalam talian menunjukkan sebuah jet Bombardier Global Express 6500 yang dikaitkan dengan Ronaldo melakukan penerbangan hampir tujuh jam dari Arab Saudi ke Madrid.
Menurut maklumat penjejakan, pesawat tersebut berlepas dari Riyadh sekitar jam 8 malam waktu tempatan dan mendarat di ibu negara Sepanyol itu sebelum jam 1 pagi, melalui laluan udara Mesir dan Laut Mediterranean.
Jabatan Negara Amerika Syarikat turut menggesa rakyatnya meninggalkan lebih sedozen negara di Asia Barat susulan peningkatan risiko keselamatan.
Beberapa penerbangan menuju ke Riyadh juga dilaporkan terpaksa dilencongkan ketika ketegangan memuncak.
Ronaldo memperoleh jet mewah Bombardier Global Express 6500 itu pada 2024 selepas menjual pesawat Gulfstream G200 miliknya yang digunakan sejak 2015.
Jet serba hitam bernilai £61 juta itu mampu membawa sehingga 15 penumpang serta dilengkapi pelbagai ruang kediaman termasuk ruang santai, suite bilik tidur dan bilik mandi peribadi.
Pesawat tersebut turut diubah suai dengan penjenamaan CR7 serta siluet sambutan gol ikonik Ronaldo.
Bintang Portugal yang beraksi bersama Al Nassr dalam Liga Pro Saudi dan dilaporkan menerima pendapatan sekitar £488,000 sehari itu kini sedang berehat akibat kecederaan.
Setakat ini, tiada pengesahan rasmi daripada Ronaldo atau wakilnya berhubung tujuan sebenar penerbangan tersebut. – AGENSI.