
LIMBANG: Sejumlah RM600 ribu diperuntukkan kerajaan Sarawak untuk menaik taraf Dewan Kampung Buangsiul, di sini.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, projek tersebut dilaksanakan dibawah Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).

“Projek Naik Taraf Dewan Kampung Buangsiul yang telah siap dilaksanakan menerusi peruntukan RTP berjumlah sekitar RM600 ribu meliputi pembinaan dewan dan pentas, penyediaan kawasan tempat letak kereta, kerja-kerja mengecat serta pemasangan elektrik dan pembinaan gelanggang badminton,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota itu berkata lagi RM300 ribu turut diperuntukkan kerajaan dibawah RTP bagi menaiktaraf Dewan Setia Kampung Limpaong merangkumi kerja-kerja penambahbaikan gelanggang, mengecat, pendawaian elektrik serta pemasangan atap.

Beliau turut bersama penduduk kampung meninjau dan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian berkenaan isu aliran air perparitan yang sering dikeluhkan oleh warga setempat di kampung berkenaan.
Katanya sejumlah RM100 ribu turut dibelanjakan bagi Projek Naik Taraf Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Limbang melibatkan kerja-kerja mengecat, pemasangan pagar besi di pintu utama, pembinaan permukaan jalan konkrit dan pemasangan penutup longkang.
Oleh Adeng Edrus