Benjamin Sesko muncul wira apabila golnya melonjakkan Manchester United ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris. Foto AFP
LONDON: Manchester United melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Crystal Palace 2-1 hasil jaringan kemenangan Benjamin Sesko di Old Trafford.
Penyerang Slovenia itu yang diberi kepercayaan oleh pengendali sementara, Michael Carrick membalas kepercayaan tersebut dengan gol penting untuk memastikan United kekal tanpa kalah di bawah kendaliannya.
Palace terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Maxence Lacroix menanduk masuk sepakan penjuru Brennan Johnson.
Namun, kebangkitan United bermula selepas Lacroix dilayangkan kad merah kerana mengasari Matheus Cunha di dalam kotak penalti.
Bruno Fernandes tenang menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Dean Henderson sebelum mencipta gerakan gol kedua yang disudahkan Sesko.
Kemenangan itu menyaksikan United mengutip 19 mata, sekali gus mengukuhkan peluang kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.
Sementara itu, Tottenham Hotspur terus dihimpit tekanan apabila tewas 1-2 kepada Fulham di Craven Cottage.

Pengendali sementara Spurs, Igor Tudor masih gagal mencatat kemenangan selepas dua perlawanan dan mengakui pasukannya berdepan masalah besar.
Gol Harry Wilson dan Alex Iwobi meletakkan Fulham selesa sebelum Richarlison menjaringkan gol sagu hati lewat permainan.
Spurs kini hanya empat mata di atas zon penyingkiran dan satu-satunya pasukan EPL yang belum menang pada 2026.
Keputusan lain menyaksikan Nottingham Forest tewas 1-2 kepada Brighton & Hove Albion manakala pendahulu liga Arsenal terus diasak selepas Manchester City merapatkan jurang kepada dua mata.- AFP