
KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memantau seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang cedera dipercayai didera bapanya di Saratok, Rabu lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pelindung JKM telah menziarahi mangsa dan menilai keadaan bagi memastikan kanak-kanak terbabit mendapat perlindungan sewajarnya.
“Pelindung kita sudah turun menilai situasi mangsa dan tindakan seterusnya akan ditentukan oleh mahkamah pada Isnin ini untuk penjagaan sementara sama ada bersama ibu, bapa atau di bawah jagaan JKM. Kita akan terus memantau supaya kanak-kanak ini berada dalam persekitaran selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Ramadan Prihatin di Masjid Darul Hana, Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa ibu bapa mangsa sedang dalam proses perceraian dan lima anak pasangan itu kini tinggal bersama suspek. Polis turut mengesahkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Nancy menegaskan bahawa JKM sentiasa bersedia mengambil alih penjagaan anak-anak yang terlibat dalam kes penderaan sekiranya keluarga tidak mampu menyediakan persekitaran selamat.
Mangsa kini menerima rawatan di hospital, manakala bapanya ditahan polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Oleh Adele Rissa