PETALING JAYA: Persidangan Halal Sedunia 2020 yang ke-12 anjuran Halal Development Corporation (HDC) 6 Oktober ini bakal membincangkan anjakan industri halal menuju ke Ekonomi Baharu Dunia di dalam situasi normal baharu susulan pandemik dunia.
“Koronavirus telah mengubah landskap ekonomi di mana para pengguna terpaksa menyesuaikan diri kepada amalan-amalan baharu semasa sekatan pergerakan dan kuarantin. Ini akan berterusan, ia telah mengubah gaya hidup dan kelakuan pengguna dan penduduk di serata dunia kini berusaha untuk menyesuaikan diri dengan amalan normal baharu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari (gambar).
Dunia kini adalah pentas transformasi baru apabila permintaan pengguna untuk produk yang bersih dan selamat meningkat dengan mendadak selepas pandemik. Dengan sekatan yang dikenakan bagi mencegah penyebaran virus ini, perdagangan secara digital telah meningkat apabila pengguna beralih ke atas talian untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan.
“Covid-19 merupakan satu desakan kepada kerajaan, syarikat-syarikat dan masyarakat untuk mempunyai pelan bagi menangani gangguan-gangguan ini, khususnya di mana rangkaian bekalan telah diuji, untuk memastikan kesinambungan perniagaan,” kata Hairol.
Mengambil perspektif perubahan landskap ekonomi, tema WHC2020 “Komuniti Halal Pacu Ekonomi Baharu Dunia” akan menyelami perubahan yang sedang berlaku, transformasi sedia ada dan diperlukan untuk dilaksanakan serta menerokai pelbagai cabaran dan peluang yang timbul dalam konteks pengeluaran dan penggunaan yang mampan.
Persidangan Halal Sedunia tahunan anjuran HDC ini merupakan satu platform pemikiran kepimpinan global yang menghimpunkan komuniti dalam linkungan ekosistem halal. Salah satu strategi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab halal global, ia merupakan satu platform yang menghubungkan Ketua-ketua kerajaan, cendiakiawan dan pemain-pemain industri untuk membincang usaha-usaha yang dilaksanakan bagi merangsang pertumbuhan yang kukuh dalam Ekonomi Halal global.
Dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), WHC telah menjadi sebahagian daripada kalendar global halal. Ia adalah sesi perjumpaan antarabangsa komuniti halal untuk menerokai peluang dan cabaran dalam Ekonomi Halal. Persidangan ini membincangkan inisiatif-inisiatif semasa dan akan datang untuk menggariskan landasan dan memacu industri ke tahap pertumbuhan yang lebih tinggi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberikan ucaptama di persidangan hibrid yang akan bertumpu kepada perbincangan menyeluruh mengenai pengubahsuaian industri halal pasca pandemik dalam menangani pelbagai peluang dan cabaran, daripada peringkat ketua-ketua kerajaan, pemain-pemain industri dan pasaran baru.
Panel perbincangan semasa persidangan sehari ini adalah Sesi Perbincangan Duta Besar: Memperkasakan Komuniti Halal, Dari Ladang ke Inovasi Global, Panel Pemain-pemain Industri: Pengeluaran dan Penggunaan yang Bertanggungjawab, Memacu Pertumbuhan Ekonomi Halal menerusi Ekonomi Kewangan dan Trend dalam Fesyen Sederhana Global.
Persidangan Halal Sedunia ke-12 telah berkolaborasi strategik dengan beberapa rakan kongsi termasuk Duopharma Biotech Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad, Selangor Business School, McDonalds Malaysia dan Wanfa Hijab.
Komitmen kukuh daripada rakan kongsi industri dan ahli panel yang merupakan peneraju industri, pelbagai agensi kerajaan serta delegasi antarabangsa menunjukkan sokongan tinggi kepada persidangan ini.
Kami telah mengembangkan industri halal dan meletakkan di atas platform kukuh di dalam dan luar negara. Tahap pertumbuhan seterusnya adalah untuk membina industri halal menjadi “Kuasa besar” dalam halal global, kata beliau.
Trend pertumbuhan industri halal adalah pemacu ekonomi utama di banyak negara, dengan industri halal global dianggarkan bernilai USD3 trilion menjelang 2030. HDC meletakkan tanda aras nilai eksport pada USD100 bilion untuk produk Malaysia menjelang 2030 dengan menggunakan kelebihan empat produk teras iaitu latihan, perundingan, Taman Halal dan Halal Integrated Platform (HIP) untuk menembusi lagi pasaran halal global.
WHC2020 akan dilaksanakan secara maya daripada Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 6 Oktober ini. Setakat ini, seramai 500 peserta daripada 48 buah negara telah mendaftar secara maya. Bagi menerokai dunia Halal, sila daftar di http://event.hdcglobal.com/whc/.
MENGENAI HALAL DEVELOPMENT CORPORATION BERHAD (HDC)
Halal Development Corporation meneraju pembangunan integrasi dan komprehensi infrastruktur dan eko-sistem halal Malaysia untuk menjadikan Malaysia sebagai negara paling kompetitif menerajui industri halal dunia.
Ditubuhkan pada 18 September 2006, HDC juga dikenali sebagai pusat penyelaras yang mempromosikan penyertaan dan menyokong pertumbuhan pemain-pemain industri dalam pembangunan eko-sistem Halal Malaysia. Sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); pertubuhan yang pertama di dunia ini disokong sepenuhnya oleh Kerajaan. Untuk maklumat lanjut, sila layari – www.hdcglobal.com. – Bernama