
WOLVERHAMPTON: Wolverhampton Wanderers mencatat kemenangan kedua mereka musim ini dalam saingan Liga Perdana selepas mengejutkan Aston Villa 2-0 di Stadium Molineux, awal pagi tadi.
Tonggak tengah, Joao Gomes muncul wira apabila meledak gol pembukaan pada separuh masa kedua sebelum Rodrigo Gomes melengkapkan kemenangan bergaya tuan rumah dalam aksi derbi West Midlands yang dibasahi hujan lebat.
Beraksi selaku pasukan tercorot liga di bawah kendalian Rob Edwards, Wolves akhirnya menamatkan kemarau sembilan perlawanan tanpa kemenangan liga, sekali gus mengutip tiga mata pertama sejak menewaskan West Ham United pada awal Januari lalu.
Walaupun masih ketinggalan 14 mata daripada zon selamat dengan hanya sembilan perlawanan berbaki, kejayaan itu sekurang-kurangnya memastikan Wolves tidak memecahkan rekod pungutan mata terendah liga iaitu 11 mata milik Derby County pada musim 2007/08. Wolves kini mengumpul 13 mata setakat ini.
Bagi Villa kendalian Unai Emery, kekalahan itu merencatkan misi memburu kelompok lima teratas bagi menjamin tiket ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Mereka kini hanya enam mata di depan Chelsea dan Liverpool.
Villa yang meletakkan Ollie Watkins sebagai penyerang utama gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik, termasuk tandukan liar Pau Torres dan percubaan lewat permainan yang dinafikan benteng kental Wolves.
Sebaliknya, Wolves lebih tajam apabila Gomes meledak gol minit ke-61 sebelum Rodrigo Gomes menambah derita pelawat di masa kecederaan bagi mengesahkan kemenangan penuh bermakna buat penyokong setia tuan rumah. – AFP