ADUM LIU
BEKEN: Peniaga di Pekan Niah Baru memohon Jabatan Kerja Raya (JKR) menyusun semula jalan masuk ke pekan demi keselesaan pengunjung.
Kapitan Pui Kuan Phen ketika ditemui media semalam berkata, keadaan simpang sangat kecil dan hanya ada jalan masuk tetapi tiada jalan keluar dari pekan tersebut.
Katanya, pada masa ini hanya terdapat jalan masuk di depan lampu isyarat di Simpang Sepupok Batu Niah di Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu.
“Peniaga di sini memerlukan pembaharuan itu dan memohon pihak JKR melihat keadaan tersebut bagi menyusun semula keadaan jalan yang dikatakan boleh masuk tetapi tidak boleh keluar.
“Jalan keluar memang ada yang hanya diketahui penduduk setempat tetapi orang luar yang datang ke sini mengalami kesukaran untuk mencari jalan keluar,” jelasnya.
Tambahnya, Pekan Baru Niah ini juga merupakan tempat persinggahan pelancong untuk singgah membeli bekalan sebelum meneruskan perjalanan ke Taman Negara Gua Niah yang terletak sejauh 15 kilometer dari sini.
Selain itu, kenderaan panjang juga tidak dapat masuk jika penghantaran yang berat dengan kuantiti banyak.
Justeru, masyarakat dan peniaga di sini berharap pihak kerajaan tempatan dan JKR untuk memantau keadaan jalan itu demi keselesaan dan keselamatan semua pihak.