ALOR GAJAH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya secara dalam talian bagi sesi 2020/2021, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr. Raha Abdul Rahim.
Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan amalan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 sekali gus memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran dapat diteruskan dengan lancar.
Katanya, pendaftaran kemasukan pelajar baharu dan lama berjumlah kira-kira 13,600 orang turut dijalankan secara dalam talian.
“Semua pensyarah di UTeM telah bersedia untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dan persediaan ini sebenarnya telah bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan pada Mac lepas lagi.
Pendekatan ini selaras dengan saranan kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan ia akan diteruskan sehingga pengumuman baharu dilakukan bergantung kepada situasi semasa Covid-19 di negara ini,” katanya, pada sidang akhbar di sini, semalam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, setakat ini terdapat kira-kira 100 pelajar termasuk lima pelajar baharu telah berada di UTeM dan pihak pengurusan menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM akan memastikan kebajikan dan keselamatan mereka diberi keutamaan.
Katanya, kemudahan asas kampus akan dibuka untuk kegunaan, kemudahan dan keselesaan pelajar antaranya asrama, kafetaria, kemudahan jalur lebar (wifi) dan pusat kesihatan.
Dalam perkembangan sama, Raha berkata, universiti berkenaan akan membantu dari aspek logistik pelajar yang berada di kampus untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Beliau berkata, bantuan secara sekali beri sebanyak RM100 seorang akan diberikan kepada kira-kira 65 peratus pelajar UTeM yang terdiri daripada golongan B40 bagi meringankan beban mereka dan akan diserahkan berdasarkan keperluan semasa.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM, Aiman Shafiq Azizan, 24, berkata,beliau dan barisan Exco MPP UTeM telah berada di kampus sejak lebih seminggu lepas dan beberapa strategi serta inisiatif sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan perjalanan sesi semester baharu lancar termasuk pendaftaran kemasukan pelajar dalam talian.
Pelajar tahun empat program ijazah Fakulti Kejuruteraan Pembuatan berkata, pihaknya mengumpul data pelajar khususnya mereka yang telah berada di dalam kampus atau yang tinggal di luar dan menghadapi masalah seperti akses internet atau tiada peranti pintar untuk mengikuti sesi pembelajaran dan pembelajaran atas talian.
“Data ini akan diserahkan kepada pihak pengurusan UTeM agar tindakan atau bantuan sewajarnya dapat disalurkan bagi memudahkan mereka,” katanya.- Bernama