
MIRI: Lapan mangsa terdiri daripada lima lelaki, seorang wanita dan dua kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan dalam satu kejadian kebakaran rumah pekerja di Jalan Kuala Baram di sini, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.58 petang sebelum sepasukan anggota bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Jentera tiba di lokasi yang sejauh 6 kilometer itu pada 5.05 petang dan operasi pemadaman dimulakan seminit kemudian.
“Kebakaran melibatkan rumah pekerja empat pintu berstruktur tidak kekal dengan anggaran keluasan 50×30 kaki persegi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi, didapati api sedang marak dan telah memusnahkan kira-kira 100 peratus rumah pekerja berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, kebakaran itu turut menyebabkan motosikal jenis Modenas Kriss 110 mengalami kerosakan dianggarkan 40 peratus.
Api berjaya dikawal pada 5.30 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.43 petang sebelum pasukan bomba beredar dari lokasi kejadian.
Oleh Adum Liu