
BETONG: Seramai 148 warga Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong melafazkan ikrar keramat dalam Majlis Amanat Perdana Jurutera Bahagian yang menjadi medan deklarasi tekad memperkukuh integriti dan prestasi jabatan.
Majlis yang berlangsung penuh aura semangat ini menyaksikan pelancaran kerangka nilai B-E-T-O-N-G sebagai kompas utama dalam mendepani cabaran pembangunan infrastruktur di bahagian ini.
Jurutera Bahagian, Jason Ng Boon Tuan, dalam amanatnya menegaskan bahawa mandat B-E-T-O-N-G yang merangkumi elemen Berintegriti, Efisien, Tegas, Orientasi Kualiti, Niat Khidmat, dan Gigi, bukan sekadar slogan, tetapi satu prinsip kerja tanpa kompromi.
Beliau mahukan setiap pegawai mengamalkan budaya kerja sistematik serta keberanian profesional dalam memastikan setiap projek yang dilaksanakan memberi impak nyata kepada kesejahteraan rakyat.
Terdahulu, suasana majlis digerakkan dengan pembentangan strategik daripada sektor Operasi dan Pembangunan yang mengupas tuntas pencapaian serta langkah proaktif jabatan dalam mendepani isu teknikal di tapak.
Sebagai bukti kecemerlangan yang telah diterjemahkan daripada visi kepada realiti, naskhah Buku Tahunan 2025 bertemakan ‘Daripada Visi ke Realiti’ turut diserahkan secara rasmi oleh Ketua Editor, SE Hasrul Nizzah Abu Hassan kepada pihak pengurusan.
Momentum majlis diteruskan dengan pengiktirafan kepada bakat dalaman menerusi penyampaian sijil penghargaan kepada Jerrard Lambert Edward, Christina Bada, dan Khairul Azhar Rakli.
Penghargaan ini diberikan atas dedikasi luar biasa mereka dalam mengharumkan nama jabatan menerusi aktiviti sukan dan sosial, sekali gus membuktikan warga JKR Betong memiliki keseimbangan antara kompetensi teknikal dan semangat berpasukan yang utuh.
Oleh Adi Safarman