
LIMBANG: Pemantauan berterusan terhadap projek pembangunan akan dijalankan bagi memastikan ia menepati keperluan rakyat serta memberi manfaat jangka panjang.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata langkah berterusan itu bertujuan menjamin projek yang dilaksanakan memberi impak positif kepada penduduk.
“Usaha ini bagi memastikan setiap keperluan rakyat diberi perhatian dan projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada penduduk,” katanya ketika berucap pada Program Badudun Ramadan di Kampung Bukit Kota baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman menjelaskan pelbagai kemudahan asas di Kampung Bukit Kota terus dipertingkatkan secara berperingkat, termasuk kerja menaik taraf prasarana dan kemudahan awam demi keselesaan penduduk setempat.
Pada majlis sama, beliau turut meluluskan sumbangan karpet baharu kepada Surau Setia Bakti bagi meningkatkan keselesaan jemaah menunaikan ibadah, khususnya sepanjang Ramadan. Beliau berharap penduduk terus mengimarahkan surau dengan solat berjemaah dan tadarus al-Quran bagi menyemarakkan suasana Ramadan.
Selain itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.
Turut hadir, Penghulu Zahedi Asol, Ketua Kampung Bukit Kota merangkap Pengerusi Surau Setia Bakti, Yusuf Tuah, serta Setiausaha Eksekutif Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota, Roslan Abdul Rahman.
Oleh Adeng Edrus