
LAWAS: Seramai 14 warga asing ditahan dalam Operasi Kutip dan Sapu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bahagian Lawas di beberapa lokasi sekitar daerah ini pada 21 hingga 22 Februari lalu.
JIM Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan serta maklumat awam bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dijalankan di beberapa rumah sewa dan premis perniagaan yang dikenal pasti.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 14 individu warga asing telah ditahan kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” menurut kenyataan berkenaan.
Semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Lawas untuk siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JIM menegaskan operasi seumpama itu akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai, termasuk majikan dan pemilik rumah sewa, turut diseru supaya lebih bertanggungjawab dalam memastikan warga asing memiliki dokumen sah, bagi memastikan Lawas kekal selamat, teratur dan mematuhi undang-undang negara.
Oleh Adeng Edrus