KUALA LUMPUR: Visa yang juga peneraju pembayaran digital serta Shopee telah memeterai kerjasama strategik serantau selama lima tahun untuk memacu penyertaan syarikat-syarikat Mikro, Perusahaan Kecil dan Sederhana (MPKS) dalam ekonomi digital di rantau Asia Tenggara.
Dalam kenyataan bersama pada 2 Oktober, dua syarikat itu berkata, pengguna yang menggunakan Visa bagi pembelian di Shopee iaitu peneraju platform e-dagang di Asia Tenggara dan Taiwan, berpeluang menikmati promosi dan ganjaran tambahan.
Perjanjian itu antara lainnya merangkumi usaha membantu MPKS dalam pendigitalan perniagaan mereka di Shopee dan menggunakan pembayaran digital menerusi Visa.
Syarikat terbabit turut dibantu dengan sokongan kempen dan pemasaran dalam usaha mempertingkat kesedaran, jumlah trafik serta jualan untuk premis dalam talian.
Malah, kerjasama itu akan turut disusuli dengan pelancaran kad kredit jenama bersama menerusi kolaboratif bersama bank-bank tempatan, menawarkan pembayaran Visa secara pantas, mudah dan selamat untuk semua pengguna Shopee serta mewujudkan pengalaman unik bagi pengguna menerusi platform penajaan Visa yang serba eksklusif.
Visa akan turut memanfaatkan jumlah pengguna Shopee yang ramai untuk meningkatkan kedudukannya dalam kalangan MPKS Asia Tenggara dan pembeli dalam talian.
“Apabila perniagaan kecil menjalankan usaha secara digital, ia memasuki jaringan dagang yang lebih meluas. Visa akan membantu mana-mana perniagaan tanpa mengira saiz atau lokasi selain dapat menarik dan memberi khidmat kepada lebih banyak pelanggan tempatan dan global menerusi kemudahan menerima pembayaran digital secara selamat dan mudah,” kata Ketua (Jualan Dagangan dan Pemerolehan) Visa Asia-Pasifik, Neil Mumm.
Beliau berkata, ini penting berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan pengguna dan perniagaan lebih banyak menggunakan pembayaran tanpa sentuh serta beli-belah secara dalam talian.
“Visa teruja untuk bekerjasama dengan Shopee bagi memperluas akses terhadap ekonomi digital bagi perniagaan kecil di serata Asia Tenggara.
“Kerjasama kita yang diperluaskan dengan Shopee adalah antara pendekatan menarik untuk Visa menyokong perniagaan kecil ketika dalam peringkat untuk bangkit semula dan bagi kemajuan masa depan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang (gambar) berkata, syarikat itu juga berharap kerjasama dengan Visa itu membolehkankannya memanfaatkan rangkaian yang luas serta selamat selain memudahkan penjual dari segi pendigitalan, khususnya di kawasan bandar dan pedalaman.
Malah, dalam tempoh beberapa bulan akan datang, Visa dan Shopee akan melancarkan kad kredit dengan jenama bersama di pasaran terpilih dengan bank-bank tempatan.
Di Malaysia misalnya, kad kredit Maybank Shopee telah dilancarkan pada Jun 2020.
Kerjasama itu akan turut menyaksikan Shopee memperkukuh hubungannya dengan CyberSource, platform pengurusan pembayaran penuh Visa bagi menyokong proses transaksi dan pengesanan penipuan selain memastikan kelancaran pengalaman beli-belah dalam talian.- Bernama