KUCHING: Ramai peniaga yang beroperasi di Kompleks Kubah Ria berasa gembira dengan sambutan yang mengalakkan daripada pelanggan setia mereka pada bulan Ramadan yang penuh berkat ini.
Walaupun terpaksa akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membenarkan peniaga berurusan pada waktu terhad namun mereka masih bersyukur dengan sambutan yang mengalakkan terutama daripada pelanggan tetap yang sanggup menempah pelbagai juadah kegemaran melalui dalam talian dan panggilan telefon.
Menurut salah seorang peniaga, Hamimah Kelas, beliau bersama suami, Ismadi Razali masih menjalankan perniagaan sepanjang tempoh PKP dengan bantuan anak-anak mereka, Siti Basirah, 28 tahun dan Siti Amirah, 25 tahun.
Beliau turut berterima kasih dengan adanya skim Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) disediakan oleh kerajaan negeri kerana mampu meringankan beban peniaga kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam pelepasan membayar premis perniagaan selama enam bulan sehingga September tahun ini.
Seorang lagi peniaga di Kompleks Kubah Ria, Suziayanah Abdullah yang terkenal dengan masakan Mee Bandung Muar, turut menyuarakan rasa syukur atas pelepasan membayar sewa gerai yang ditadbir urus oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri Sarawak (SEDC).
“Dengan bantuan seperti ini, peniaga kecil seperti kami boleh bernafas lega kerana ia meringankan sebahagian daripada beban kos yang terpaksa ditanggung sepanjang tempoh PKP dilaksana,” kata beliau yang telah berniaga di Kubah Ria semenjak tahun 2010.
Bagi Nuur Afikah Ramlee, 28 tahun, beliau bersama suami terpaksa bekerja tanpa pekerja demi menjimatkan kos dan mengalu-alukan pakej BKSS.
Bagi peniaga nasi lemak terkenal di Kubah Ria, Zaini Apen dan isteri beliau, Engku Aida Al Karim, mereka berdua bersyukur dengan bantuan khas yang diberi kerajaan kepada peniaga kecil yang menghadapi cabaran untuk terus berniaga sepanjang tempoh PKP.
Zaini, 44 tahun dan sudah masuk 10 tahun berniaga “Nasi Lemak Ganja” di Kompleks Kubah Ria melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi “talian hayat” kepada peniaga kecil seperti beliau yang berdepan masa depan yang mencabar terutama dalam menampung kos perniagaan seperti pembayaran gaji pekerja.
Sementara itu, SEDC Sarawak bersedia untuk memberi pelepasan bayaran sewa kepada para peniaga yang menyewa gerai dan premis perniagaan di bawah pengurusannya di seluruh negeri Sarawak.
Menurut Pengurus Besarnya, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir jumlah keseluruhan pelepasan sewa yang diberikan untuk tempoh enam bulan sehingga bulan September depan. Bantuan yang diberikan itu akan menjamin para peniaga di bawah skim keusahawanan SEDC Sarawak serba sedikit dapat bertahan semasa tempoh PKP dilaksanakan dan selepas ia tamat.
Selain daripada itu, SEDC Sarawak turut menyeru usahawan tempatan supaya memohon Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) I dan II disediakan oleh Kerajaan Sarawak yang dibuka permohonannya bermula 1 April lalu. Mereka yang berminat boleh mengisi borang permohonan yang boleh dimuat turun di laman sesawang SEDC Sarawak.