
KUCHING: Sempena inisiatif tahunan Tanggungjawab Sosial Korporat Ramadan, (CSR), Imperial Hotel Kuching menganjurkan majlis berbuka puasa bersama 31 individu daripada enam keluarga yang memerlukan dalam suasana penuh bermakna, malam ini.
Program yang berlangsung itu diadakan dengan kerjasama HOPE Place Kuching bagi memberi peluang kepada keluarga terlibat menikmati pengalaman menjamu selera di hotel berkenaan serta merasai kemeriahan Ramadan bersama.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah turut membawa sinar kegembiraan apabila setiap individu menerima Duit Raya.
Setiap keluarga juga menerima beg cenderahati Ramadan yang mengandungi barangan keperluan harian, disampaikan oleh Pengurus Besar hotel, Patrick Kuek.
Pihak hotel turut merakamkan penghargaan kepada Cat City Holidays Sdn Bhd atas sokongan menaja perkhidmatan pengangkutan pergi dan balik dari kediaman keluarga ke hotel, sekali gus memastikan kelancaran program tersebut.
Inisiatif berkenaan mencerminkan semangat berkongsi rezeki dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan, selari dengan tuntutan Ramadan yang menggalakkan amalan kebajikan serta kasih sayang dalam masyarakat.
Oleh Adele Rissa