SIBU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengetuai ekspedisi bermotosikal dari Sibu ke Kapit, semalam.
Beliau yang menunggang motosikal berkuasa tingginya sendiri turut disertai kira-kira 80 penunggang motosikal berkuasa tinggi yang lain.
Beliau turut diringi oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.
Perlepasan ekspedisi yang bermula dari Eco Garden berhampiran Sibu Jaya di sini telah disempurnakan Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau sekitar jam 8.50 pagi.
Abang Johari bersama rombongan turut singgah di beberapa kawasan bagi lawatan kerja dan menghadiri program bersama rakyat.
Abang Johari yang tiba di Gerai Serbaguna dan Tamu MDK Kanowit sekitar jam 10.00 pagi meluangkan masa untuk mendengar taklimat Projek Pembangunan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Tengah.
Beliau kemudian melakukan tinjauan dan lawatan santai ke Pasar Tamu Kanowit, sebelum bersarapan bersama masyarakat di Gerai Serbaguna Kanowit.
Lawatan kerja dan ekspedisi bermotosikal diteruskan ke Ngungun yang sejauh 37 kilometer dan Abang Johari dijadual menghadiri Majlis Bersama Rakyat dan Taklimat Projek Pembangunan oleh JKR Wilayah Tengah di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ngungun, Kanowit.
Seterusnya, Abang Johari akan melakukan tinjauan ke Projek Rakyat Waterfront, Song.
Pada sebelah petang pula, Abang Johari dijadual merasmi Majlis Perasmian Kapit Town Square bertempat di Kapit Town Square.
Abang Johari juga dijadual menghadiri Majlis Makan Malam bersama masyarakat bertempat di Dewan Suarah Kapit.
Oleh Nurzilla Mohamad