

BINTANGOR: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menegaskan bahawa perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum merupakan asas penting dalam memastikan kestabilan serta kemajuan pembangunan berterusan di Sarikei.
Huang yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, berkata semangat perpaduan dan kerjasama erat antara masyarakat dan pemimpin menjadi faktor utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya amat berbesar hati dapat bersama masyarakat Tionghua pada majlis ini dan mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua.
“Semoga tahun baharu ini membawa kesejahteraan, kesihatan yang baik serta kejayaan berterusan kepada semua,” katanya ketika berucap pada majlis anjuran Persatuan Cina Bersatu (UCA) Bahagian Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, UCA Bahagian Sarikei telah sekian lama memainkan peranan penting dalam menyatupadukan pertubuhan masyarakat Cina serta menyumbang secara aktif dalam pembangunan sosial, pendidikan dan kebajikan masyarakat setempat.
“Majlis seperti ini bukan sahaja menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim, malah memperkukuh kerjasama antara pemimpin masyarakat dan wakil rakyat dalam memastikan pembangunan kawasan terus diperkasa.

“Saya sentiasa bekerjasama rapat dengan masyarakat Cina dan pelbagai kaum di Sarikei.
“Melalui sokongan rakyat, banyak peruntukan berjaya disalurkan bagi menaiktaraf infrastruktur, kemudahan sekolah serta pembangunan ekonomi dan keagamaan di Sarikei dan Meradong,” katanya.
Tambahnya, sokongan berterusan daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan pelbagai projek pembangunan di kawasan Sarikei dan Meradong.
“Pembinaan jalan raya dan jambatan Sarikei ke Tanjung Manis yang kini telah siap dan dibuka kepada orang ramai merupakan antara projek penting yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.
“Ia bukan sahaja memudahkan perhubungan, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pembangunan untuk rakyat di Sarikei serta kawasan sekitarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap UCA Bahagian Sarikei dan semua pertubuhan masyarakat terus memberikan sokongan padu terhadap usaha pembangunan kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin dengan perpaduan dan kerjasama semua pihak, Sarikei akan terus membangun dan menikmati kemakmuran yang berterusan,” katanya.
Pada majlis tersebut, beliau turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM15,000 kepada UCA Bahagian Sarikei sebagai tanda sokongan terhadap peranan dan aktiviti persatuan.
Oleh Earl Anek