SIMANGGANG: Projek jambatan gantung di Rumah Japing Nyakai Baroh menyeberangi Sungai Undop yang siap sepenuhnya, memberi manfaat kepada lebih 34 buah rumah panjang di kawasan tersebut.
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis berkata, jambatan yang menelan kos sebanyak RM330,000 itu disiapkan dalam tempoh tujuh bulan dilaksanakan dibawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP), Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Harden berkata, beliau komited membawa perubahan dan memastikan penduduk di kawasannya tidak ketinggalan dari segi infrastruktur asas dan kemudahan lain.
“Saya telah menyedari bahawa kepayahan dan keperitan penduduk di sini untuk berkebun dan bertani serta juga membawa keluar hasil pertanian dan buah-buahan yang hanya menggunakan perahu sebelum ini.
“Kini apabila siapnya jambatan gantung ini, diharap 34 buah keluarga di sini yang rata-ratanya menjadikan aktiviti pertanian sebagai sumber pendapatan tidak lagi mengalami kepayahan untuk pergi serta membawa hasil tani mereka keluar dari kawasan seberang sungai.
“Bukan hanya setakat membina jambatan sahaja, saya sebelum ini telah menghulurkan peruntukan kepada penduduk kawasan rumah panjang ini sebanyak RM170,000 untuk tujuan membaik pulih jalan dan juga membersih sungai,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Jambatan Gantung Rumah Japing, Nyakai Baroh dekat sini semalam.
Majlis perasmian jambatan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Dato Sri Dr. Sim Kui Hian.
Harden berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk kerana memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan jambatan itu sehingga ia berjaya siap dibina.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat terus mensyukuri pelaksanaan projek berkenaan dengan memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan sedia ada.
“Projek pembinaan jambatan ini adalah bukti Kerajaan Sarawak terus membela nasib rakyat di negeri ini, bukan setakat projek ini sahaja malah banyak lagi projek-projek besar yang telah dan akan memberikan kelegaan dan manfaat kepada masyarakat di negeri ini amnya.
“Tidak seperti pembangkang, yang sering menafikan pembangunan yang telah di buat oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), sehinggakan mereka mempertikaikan peruntukan RTP itu masuk ke dalam poket Yang Berhormat(YB),” tegasnya.
Harden dalam pada itu turut menyeru kepada penduduk di situ untuk menyertai program yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Sarawak iaitu Agriculture Community Outreach Programme ( AGRICOP).
“Ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu golongan sasar dalam pertanian meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka melalui teknologi pertanian moden.
“Program ini amat berguna dan memberikan impak yang sangat besar kepada penduduk untuk memajukan lagi sektor pertanian, sekaligus satu platform yang terbaik bagi Kerajaan Sarawak dalam mengembangkan aktiviti pertanian di negeri ini,” kata beliau.
Beliau mahu semua pihak memanfaatkan keluasan tanah di negeri ini untuk sektor pertanian dan industri makanan.
Menurutnya, Sarawak memiliki sumber tanah yang luas, dan kini terpulang kepada golongan petani untuk menanam tanaman yang bersesuaian.
“Kita menggesa agar penduduk bangunkan tanah mereka agar dapat membantu mentransformasikan sektor pertanian di negeri ini sekali gus membantu meningkatkan pendapatan diri mereka, sendiri,” ujar Harden.
Turut hadir ialah Pengarah Unit Perancang Negeri, Dr Abdullah Zaidell, Residen Sri Aman, Indit Bangai, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee dan Tuai Rumah Japing Nyakai Baroh, Japing Gema.
Oleh Adi Safarman