KAPIT: Kedatangan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Kapit petang semalam telah membawakan hadiah yang cukup bermakna kepada penduduk di bahagian tersebut.
Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM73 juta untuk pelaksanaan dua projek di Kapit.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM58 juta untuk pembinaan Pusat Warisan Kapit dan RM15 juta untuk pembinaan Pasar Tani di Bandar Kapit.
Datuk Patinggi Abang Johari yang juga Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pusat warisan tersebut adalah sambungan daripada projek Tebingan Kapit Fasa 3.
“Projek tersebut terletak berdekatan Kubu Port Silvia dan bakal menjadi tarikan pelancongan Kapit.
“Manakala, Pasar Tani setinggi tiga tingkat adalah untuk menyediakan tempat kepada para penjaja memasarkan hasil mereka termasuk hasil hutan dan pertanian,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Kapit Town Square, petang semalam.
Ketua Menteri juga berkata, dengan adanya rangkaian jalan dari Sibu ke Kapit akan menjadikan bahagian tersebut sebagai tarikan pelancong datang ke Kapit.
Menurutnya, perjalanan dari Sibu ke Kapit mempunyai banyak pemandangan indah yang berpotensi untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong.
“Hari ini saya datang Kapit naik motosikal dari Sibujaya, singgah di Kanowit, saya pergi ke Nanga Ngungun orang sana terkejut tengok saya pakai motosikal.
“Dari Ngungun saya ke Song melihat banyak projek pembangunan di sana, saya meneruskan perjalanan ke Kapit.
“Untuk datang ke Kapit mempunyai pemandangan yang baik. Saya telah bercakap dengan Datuk Karim kita akan tayang kecantikan Kapit dalam TV Sarawak.
“Kita cadang menghasilkan filem dan drama di Kapit, selain kita bertukar maklumat dengan dunia luar. Saya bercakap hal ini sebab Sarawak mempunyai saluran tv sendiri dan akan dilancarkan pada 10 Oktober ini.
“Orang luar akan tahu apa yang ada di Sarawak, kita akan tayang di Channel TV Sarawak 122 Astro,” ujarnya.
Projek pembinaan Kapit Town Square dibina dengan peruntukan RM3 juta. Diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 25 April 2017 dan siap pada 15 September 2020.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN & EARL ANEK