

BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, meneruskan siri kunjungan mesra ke rumah bekas ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan pemimpin masyarakat sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Kunjungan itu bertujuan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka kepada pembangunan kawasan.
Koung Hiing yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, berkata kunjungan tersebut mencerminkan keprihatinan dan penghargaan terhadap para pemimpin serta ahli masyarakat yang telah banyak menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan di Meradong.
“Kunjungan ini adalah sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan para pemimpin serta ahli masyarakat yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan serta kestabilan di kawasan Meradong.
“Walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang tidak lagi memegang jawatan rasmi, sumbangan dan komitmen yang telah diberikan tetap dihargai dan dikenang sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh parti serta menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui media.
Tambahnya, dalam suasana perayaan yang penuh keceriaan, kunjungan tersebut berlangsung dalam keadaan harmoni dan mesra.
“Pelbagai perkara telah dibincangkan termasuk perkembangan semasa kawasan, keperluan rakyat dan perancangan masa hadapan bagi memastikan pembangunan di kawasan Meradong terus bergerak seiring dengan arus kemajuan Sarawak.
“Amalan ziarah-menziarahi seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan, kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua lapisan masyarakat amat penting dalam memastikan setiap agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Turut hadir, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing; Setiausaha SUPP Cawangan Bintangor, Lau Sie Hing; Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Konselar Chieng Ming Kiong; Ketua Pergerakan Pemuda SUPP Cawangan Bintangor, Ley Chee Hua serta Pemanca Yii Hee Sieng.
Oleh Earl Anek