
LAWAS: Lelaki tempatan mengalami kerugian sebanyak RM1,500 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian telefon bimbit secara dalam talian, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, pihak Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC), Bukit Aman menerima panggilan daripada pengadu yang memaklumkan dirinya telah ditipu.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira 11.30 pagi apabila mangsa melayari laman sosial dan tertarik dengan satu iklan jual beli telefon bimbit.
“Pengadu kemudian membuat satu transaksi kewangan sebanyak RM1,500 untuk urusan pembelian telefon bimbit berkenaan. Namun selepas pembayaran dibuat, barangan yang dijanjikan tidak diterima.
“Pengadu telah membuat laporan kepada NSRC melalui talian 997,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, pihak polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Oleh Adeng Edrus