
LAWAS: Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas (IPD Lawas) telah menganjurkan program berbuka puasa Kepimpinan PDRM Lawas bersama petugas barisan hadapan IPD Lawas di Astaka IPD Lawas, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas, Liong Tindan berkata objektif program tersebut adalah untuk mengeratkan silaturahim antara barisan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas dengan pihak pengurusan, pegawai kanan serta anggota polis tanpa mengira pangkat.
Menurut beliau, program berkenaan turut bertujuan menghargai pengorbanan dan komitmen barisan hadapan yang terus bertugas dalam memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terpelihara sepanjang Ramadan.

Tambahnya, program tersebut juga bertujuan menyemai nilai keinsafan, kesyukuran dan kebersamaan dalam kalangan warga Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas melalui penghayatan ibadah puasa serta amalan berbuka secara berjemaah.
Jelasnya, program ini turut mampu meningkatkan semangat kerja berpasukan serta motivasi anggota agar terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, integriti dan profesionalisme.
Beliau berkata mengukuhkan budaya kebajikan dan keprihatinan pihak pengurusan terhadap kesejahteraan anggota barisan hadapan, khususnya yang bertugas mengikut syif, di samping menjadikan Ramadan sebagai medium pengukuhan sahsiah dan kerohanian dalam kalangan warga PDRM selaras dengan nilai murni serta etika perkhidmatan.

Beliau menggesa agar barisan hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas sentiasa bersiap siaga dalam melaksanakan penugasan semasa, bersemangat tinggi serta mengekalkan prestasi pada tahap terbaik dengan penuh integriti.
Beliau turut menegaskan agar semua penugasan dan perancangan tugas diteruskan seperti biasa demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Program bermula 6.00 petang itu dihadiri Ketua Bahagian, Ketua Polis Balai serta pegawai kanan, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam Polis yang bertugas di barisan hadapan PDRM.
Antara yang terlibat ialah unit MPV, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bahagian Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Cawangan Pengangkutan, Balai Polis serta Cawangan Khas.
Oleh Adeng Edrus