
MIRI: Sebanyak 62 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi samseng jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia bersama anggota Balai Pusat Miri itu berlangsung antara 10.00 malam hingga 3.00 pagi.

Menurutnya, operasi berkenaan tertumpu di sekitar Jalan Piasau, Jalan Tanjong Lobang dan kawasan Marina bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai 38 lelaki tempatan dan tiga wanita tempatan bersama 35 motosikal telah diperiksa.

“Antara kesalahan dikesan ialah lesen kenderaan tamat tempoh, tiada nombor pendaftaran, penggunaan nombor pendaftaran ‘fancy’, tiada lesen memandu, ubah suai ekzos serta tiada cermin sisi,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi.
Mohd Farhan berkata, dalam operasi sama sebanyak 14 motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi peraturan jalan raya serta tidak terlibat dalam aktiviti samseng jalanan yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Oleh Liong Chai Ling