33 mangsa banjir dipindahkan ke Masjid Sungai Maong

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Sungai Maong ke pusat pemindahan sementara di Masjid Sungai Maong, malam ini. Foto JBPM 

KUCHING: Seramai 33 mangsa banjir daripada tujuh keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Masjid Sungai Maong selepas kediaman mereka dinaiki air malam ini.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu 8.14 malam.

Komander Operasi, PBK I Abdul Hakim mengetuai operasi tersebut bersama Pegawai Kanan di Lokasi, PgKB II Nik Muhammad Afiq Nik Roslan.

ANGGOTA bomba membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Sungai Maong ke pusat pemindahan sementara di Masjid Sungai Maong, malam ini. Foto JBPM 

Hasil rondaan mendapati beberapa rumah di kawasan Sungai Maong telah dinaiki air dan terdapat permohonan daripada penduduk untuk dipindahkan ke tempat selamat.

Turut dibantu ialah seorang lelaki dewasa yang tidak berupaya bergerak dan dipindahkan dengan bantuan anggota bomba ke pusat berkenaan.

“Daripada jumlah keseluruhan mangsa, dua merupakan warga emas iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. 

ANGGOTA bomba membantu memindahkan penduduk yang terjejas banjir di Sungai Maong ke pusat pemindahan sementara di Masjid Sungai Maong, malam ini. Foto JBPM 

“Selain itu, terdapat 19 dewasa terdiri daripada tujuh lelaki dan 12 perempuan serta 10 kanak-kanak membabitkan enam lelaki dan empat perempuan,” jelas Komander Operasi, PBK I Abdul Hakim dalam sebuah kenyataan. 

Pasukan bomba kemudian melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah bagi mengenal pasti penduduk yang ingin berpindah dan memerlukan bantuan segera. 

Operasi pemindahan berjalan lancar dan setakat ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Kesemua mangsa dipindahkan ke Masjid Sungai Maong sebagai pusat pemindahan sementara.

Oleh Clarissa Ima