SUBANG JAYA: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah meluahkan rasa bangga dengan kecemerlangan pergerakan Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) yang telah memasuki 104 tahun.
“Beta mengucapkan syabas kepada ahli yang terlibat dalam semua peringkat di dalam dan di luar negara dan diharap akan terus aktif walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), malah beta difahamkan PPPM lebih aktif kini dengan melaksanakan pelbagai program dan rancangan secara dalam talian,” titah baginda.
Baginda yang juga Penaung Diraja PPPM bertitah demikian dalam titah ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Kali ke-55 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) 2020, di sini, dan yang turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perak Tuanku Soraya Sultan Abdul Halim yang juga Timbalan Yang Dipertua PPPM.
Tunku Azizah turut berbesar hati dengan peruntukkan RM1.5 juta yang akan diterima persatuan itu menerusi bantuan Kumpulan Wang Amanah Perkhidmatan Kemasyarakatan dan Kebajikan seperti yang diumumkan Yang Dipertua baharu PPPM Puan Sri Norainee Abdul Rahman yang juga merupakan isteri Perdana Menteri.
“Beta berharap, PPPM akan menggunakan peruntukkan yang diberikan untuk menghantar ahli menghadiri mesyuarat di luar negara. Dengan adanya peruntukan ini, kita juga memberi peluang kepada semua wanita muda, supaya mereka mempelajari daripada kempen dan latihan di luar negara,” titah baginda.
Sehingga kini PPPM mempunyai 18 cawangan di seluruh Malaysia dengan bilangan anggota seramai 282,147 orang.
— Bernama