Parcel Shield dilancar bendung penipuan bungkusan – Fahmi

Facebook
WhatsApp
MENTERI Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan perasmian sambutan Hari Kurier Negara 2026 (HKN2026) di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor hari ini. Foto AFP

SHAH ALAM, 31 Oktober: Kerajaan mempergiat usaha melindungi pengguna daripada sindiket penipuan yang mengeksploitasi perkhidmatan kurier dan platform e-dagang menerusi  pelancaran  inisiatif anti-penipuan Parcel Shield hari ini.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata inisiatif diterajui Postal Forum itu bagi meningkatkan kesedaran dan kewaspadaan pengguna terhadap pelbagai modus operandi penipuan berkaitan penghantaran bungkusan, termasuk penyamaran sebagai syarikat kurier, notifikasi penghantaran palsu, pautan pancingan data (phishing) serta penipuan pembayaran semasa penghantaran (COD).

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat kurier akan bekerjasama mempergiat usaha meningkatkan kesedaran pelanggan mengenai ancaman penipuan yang menggunakan taktik penghantaran bungkusan palsu.

“Kementerian Komunikasi dan semua syarikat kurier juga akan memperluaskan inisiatif ini menerusi perkhidmatan pesanan khidmat masyarakat di radio dan televisyen untuk memastikan pengguna, rakyat Malaysia terutamanya, mendapat manfaat menerusi inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan inisiatif Parcel Shield sempena Hari Kurier Negara 2026 di Selangor International Trade Centre hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Pegawai Eksekutif Postal Forum Nurhafizah Hanifah dan Presiden Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia Ronald Tan.

Sementara itu, Fahmi berkata sebanyak 13,045 kandungan berkaitan penipuan, perjudian serta perkhidmatan tidak dibenarkan dikesan oleh platform e-dagang dari 1 Januari hingga semalam.

Beliau berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat semalam turut bersetuju secara dasar dengan cadangan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012 sebagai antara langkah kerajaan memperkukuh usaha membendung kegiatan berkenaan, selain memperincikan aspek kebajikan pekerja kurier.

“Kelulusan yang kita peroleh setakat ini adalah di peringkat dasar untuk pindaan dan ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk menyediakan draf.

“Jadi prosesnya kita anggar akan mengambil masa kerana ada ketertiban yang perlu kita patuhi. Tapi kita jangkakan seawal pertengahan atau hujung tahun depan (untuk dibentangkan di Parlimen),” katanya.

Fahmi berkata pindaan akta itu turut bertujuan memastikan aspek kebajikan dan perlindungan pekerja kurier diberi perhatian, selaras dengan usaha kerajaan memperkenalkan inisiatif Tabung Pos yang dijadual digerakkan pada suku pertama 2027.

Sehubungan itu, beliau akan meminta Kementerian Komunikasi dan MCMC menjemput semua syarikat penghantaran berlesen untuk turut serta dalam proses penggubalan pindaan Akta Perkhidmatan Pos 2012. – Bernama