
MUKAH: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di Kampung Tellian Tradisi, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, sekitar 1.15 petang, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah telah menjalankan serbuan di tepi jalan berhampiran rumah sewa di kampung berkenaan hasil maklumat.
“Dalam serbuan tersebut, tiga lelaki warga tempatan berumur antara 16 hingga 24 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, pasukan serbuan menemukan satu keratan tiub straw lutsinar yang mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine dalam simpanan suspek berusia 24 tahun. Anggaran berat kasar dadah yang dirampas adalah 0.46 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang tidak bekerja bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.
“Ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek yang disyaki memiliki dadah disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tegasnya.
Oleh Akun Giman