

SADONG JAYA: Memasuki hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), harapan untuk menemukan Mohd Faizal Abdilah, 30, yang dipercayai dibaham buaya di bawah Jambatan Sungai Buloh masih belum terpadam.
Seawal 9.30 pagi tadi, pasukan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memulakan pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan air dengan radius anggaran sejauh lapan kilometer dari lokasi mangsa disambar.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang pada tengah hari semalam ketika menjala bersama rakannya.
Menurut saksi, beliau turun ke dalam sungai sedalam paras pinggang sebelum tiba-tiba disambar buaya.
Kenyataan JPBM memaklumkan operasi hari kedua memberi tumpuan kepada kawasan hilir dan tebing sungai yang berpotensi menjadi lokasi mangsa dihanyutkan.
“Pasukan memperluaskan skop pencarian berdasarkan arus sungai dan keadaan pasang surut.
“Kita juga membuat pemantauan di kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan buaya,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Operasi melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Asajaya dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), RELA serta penduduk kampung.
Sebuah jentera LFRT, kenderaan pacuan empat roda dan bot aluminium digunakan bagi memudahkan pergerakan di permukaan sungai.
Setakat pagi ini, mangsa masih belum dijumpai dan operasi diteruskan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan keadaan sungai dan cuaca.
Oleh Masrin Affirah