
LOS ANGELES, Amerika Syarikat: Robert Duvall, yang melakonkan watak peguam mafia yang tenang dalam The Godfather dan mencuri tumpuan menerusi gambaran kolonel yang obses meluncur dalam Apocalypse Now, meninggal dunia pada usia 95 tahun, menurut isterinya pada Isnin.
Pemergiannya pada Ahad disahkan oleh isterinya, Luciana Duvall.
“Semalam kami mengucapkan selamat tinggal kepada suami tercinta saya, sahabat yang dihargai dan salah seorang pelakon terhebat zaman kita. Bob meninggal dunia dengan tenang di rumah,” tulisnya.
Seorang yang berterus terang, prolifik dan tidak menggemari glamor, Duvall memenangi Oscar Pelakon Lelaki Terbaik serta menerima enam lagi pencalonan. Sepanjang kerjaya lebih enam dekad, beliau menyerlah dalam watak utama dan pembantu sebelum beralih menjadi pengarah. Beliau terus berlakon sehingga usia 90-an.
“Kepada dunia, dia ialah pelakon pemenang Anugerah Akademi, seorang pengarah dan pencerita. Bagi saya, dia adalah segalanya,” kata Luciana Duvall.
“Semangatnya terhadap seni lakonan hanya dapat ditandingi oleh cintanya yang mendalam terhadap watak-watak, hidangan enak dan perbualan panjang.”
Duvall memenangi Anugerah Akademi pada 1983 menerusi watak penyanyi country yang semakin merudum dalam Tender Mercies.
Namun, watak-wataknya yang paling dikenang termasuk penasihat mafia yang lembut dan setia, Tom Hagen, dalam dua filem pertama The Godfather, serta Leftenan Kolonel William Kilgore yang fanatik perang dalam epik Perang Vietnam 1979 arahan Francis Ford Coppola, Apocalypse Now.
“Satu penghormatan dapat bekerja bersama Robert Duvall,” kata pemenang Oscar, Al Pacino, yang berlakon bersama Duvall dalam filem The Godfather, dalam satu kenyataan.
“Beliau seorang pelakon semula jadi, seperti yang orang katakan. Hubungannya dengan seni itu, kefahamannya dan bakat luar biasanya akan sentiasa dikenang. Saya akan merinduinya.”
Sebagai Kolonel Kilgore, Duvall menerima pencalonan Oscar dan muncul sebagai bintang selepas bertahun-tahun memegang peranan kecil, menerusi persembahan yang menampilkan antara dialog paling terkenal dalam sejarah filem.
“Saya suka bau napalm pada waktu pagi,” ujar wataknya yang menggemari perang — bertelanjang dada, angkuh dan memakai topi koboi hitam besar — ketika pesawat perang Amerika Syarikat terbang rendah mengebom kawasan pesisir pantai yang ingin dijadikannya lokasi meluncur.
Watak itu pada asalnya dicipta dengan ciri lebih keterlaluan — namanya pada mulanya dicadangkan sebagai Kolonel Carnage — namun Duvall meminta ia diperhalusi, sekali gus menunjukkan pendekatannya yang teliti terhadap lakonan.
“Saya membuat kerja rumah,” kata Duvall kepada hos rancangan bual bicara veteran, Larry King, pada 2015. “Saya membuat penyelidikan.”
Tokoh perfileman Francis Ford Coppola — yang mengarahkan Duvall dalam Apocalypse Now dan The Godfather menyifatkan pemergiannya sebagai “satu kehilangan besar”.
“Seorang pelakon yang begitu hebat dan bahagian penting American Zoetrope sejak awal penubuhannya,” kata Coppola dalam satu kenyataan di Instagram.
Kerjaya yang ‘luas’
Duvall dianggap agak lambat menyerlah di Hollywood, beliau sudah berusia 31 tahun ketika memberikan persembahan terobosan sebagai watak misteri Boo Radley dalam adaptasi filem 1962 novel Harper Lee, To Kill a Mockingbird.
Beliau kemudian memegang pelbagai peranan — eksekutif korporat yang membuli dalam Network (1976), pegawai Marin yang melayan keluarganya seperti askar dalam The Great Santini (1979), dan seterusnya watak utamanya dalam Tender Mercies.
Namun, Duvall sering berkata watak kegemarannya ialah yang dilakonkan dalam miniseri televisyen 1989 — Texas Ranger yang menjadi koboi, Augustus McCrae, dalam Lonesome Dove, berdasarkan novel karya Larry McMurtry.
Pelakon Britain, Jane Seymour, yang bekerja bersama Duvall dalam filem 1995 The Stars Fell on Henrietta, berkongsi penghormatan penuh emosi di Instagram.
“Kami sempat berkongsi kecintaannya terhadap barbeku dan juga sedikit tango,” tulis Seymour pada kapsyen gambar beliau bersama Duvall. “Detik-detik di luar kamera itu sama bermaknanya seperti kerja itu sendiri.”
Pelakon Amerika Syarikat, Alec Baldwin, turut memuat naik video penghormatan ringkas, menyentuh tentang “kerjaya luas” bintang itu.
“Apabila dia berlakon dalam To Kill A Mockingbird, dia benar-benar menghancurkan emosi penonton dengan persembahannya sebagai Boo Radley, tanpa satu pun dialog, tidak sepatah kata pun, namun tetap memukau,” kata Baldwin.
Pengkritik filem Elaine Mancini pernah menggambarkan Duvall sebagai “pelakon paling mahir dari segi teknikal, paling versatil dan paling meyakinkan di layar perak di Amerika Syarikat.” – AFP