
NIAH: Projek pengubahsuaian dan pembesaran Masjid Al-Jabbar Sepupok di sini bakal dilaksanakan pada 25 Februari ini oleh SBMJ Engineering Sendirian Berhad.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata projek bernilai RM7 juta itu dijangka siap dalam tempoh 12 bulan, bermula hari ini sehingga 15 Februari 2027.
“Antara skop utama projek ialah pembinaan ruang limpah baharu dan kawasan zon turun penumpang bagi memudahkan pergerakan kenderaan serta jemaah. Selain itu, bangunan sedia ada turut akan melalui kerja pengubahsuaian bagi meningkatkan keselesaan dan kemudahan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tapak Projek Kerja Pengubahsuaian dan Penambahan Masjid Al-Jabbar, Sepupok, Niah, hari ini.


Menurutnya, dengan pelaksanaan projek ini, Masjid Al-Jabbar Sepupok dijangka menjadi pusat ibadah dan aktiviti komuniti yang lebih selesa, tersusun serta memenuhi keperluan masyarakat setempat selaras dengan pembangunan kawasan berkenaan.
Projek itu turut merangkumi pembinaan menara dan sebuah bangunan serbaguna yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai aktiviti komuniti.
Beliau menambah, projek yang dilaksanakan oleh Majlis Islam Sarawak ini melibatkan kerja-kerja pembesaran dan naik taraf bangunan sedia ada bagi menampung keperluan jemaah yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.


Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Jamalie Busri, Pengerusi Masjid Al-Jabbar Niah Yusoff Ahmad, Pengarah Urusan SBMJ Engineering Sendirian Berhad Kiu Kuong Kiet, serta ketua-ketua kaum Batu Niah dan Sepupok.
Oleh Adum Liu