
BAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki bertindak sebagai ejen tambah nilai bagi aktiviti perjudian dalam talian dalam satu operasi di Jalan Ong Guan Cheng, di sini.
Suspek berusia 25 tahun itu mempunyai rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, dalam operasi tersebut pihaknya telah memeriksa seorang lelaki di sebuah premis yang dipercayai terlibat dalam aktiviti tambah nilai perjudian dalam talian sebelum menahannya untuk siasatan lanjut.
“Turut dirampas sebuah telefon pintar jenama Nubia dan wang tunai berjumlah RM30 dalam pelbagai denominasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Menurutnya, suspek turut diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalani ujian saringan air kencing serta tindakan lanjut.
Oleh Connie Chieng