
SIBU: Selepas lebih dua dekad terbiar tanpa pembangunan menyeluruh, taman yang diperuntukkan di Jalan Apollo di sini kini dihidupkan semula menerusi kerja-kerja pembangunan semula yang dimulakan sejak tahun lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang, berkata walaupun tapak berkenaan telah dikhaskan sebagai taman kejiranan lebih 20 tahun lalu, ia kekal dalam keadaan uzur dan kurang dimanfaatkan oleh penduduk setempat.
Beliau berkata, hasil sesi libat urus bersama komuniti mendapati terdapat sokongan padu untuk memulihkan kawasan terbuka itu sebagai ruang rekreasi yang lebih kondusif.
“Berdasarkan maklum balas yang diterima, kerja-kerja penambahbaikan bermula pada 2025, termasuk penambakan tanah serta pemasangan infrastruktur asas bagi menyediakan taman ini untuk pembangunan lanjut.
“Usaha berterusan ini bertujuan mentransformasikan kawasan berkenaan menjadi kemudahan rekreasi lengkap yang boleh dinikmati semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyalaan Lampu Tahun Baharu Cina Taman Apollo dan Perhimpunan BBQ di sini, malam tadi.
Menurutnya, antara komponen yang dirancang dalam projek naik taraf itu termasuk gim taman, taman permainan kanak-kanak serta kemudahan mesra warga emas.
“Ini belum lagi versi lengkap taman ini kerana kita membangunkannya secara berperingkat. Apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan menjadi lokasi anak-anak, ibu bapa dan warga emas berkumpul serta beriadah bersama,” katanya.
Tiang berkata sejak kerja-kerja penambahbaikan dimulakan, taman berkenaan kembali menjadi ruang komuniti yang aktif dengan penduduk Jalan Apollo dan kawasan sekitarnya memanfaatkannya untuk pelbagai aktiviti.
Beliau berkata, perhimpunan BBQ sempena Tahun Baharu Cina yang diadakan itu merupakan kali kedua dianjurkan sejak pembangunan semula dimulakan, sekali gus mencerminkan sambutan positif masyarakat setempat.
“Kebangkitan semula taman ini membantu mengeratkan semula hubungan kejiranan. Apabila kanak-kanak datang ke taman, ibu bapa turut serta, dan apabila ibu bapa bertemu, semangat komuniti akan berkembang.
“Inilah yang ingin kita capai, membantu golongan muda mengurangkan penggunaan peranti dan menikmati ruang terbuka bersama keluarga serta jiran tetangga,” katanya.
Pada majlis itu, beliau turut mengagihkan angpau kepada penduduk yang hadir.
Oleh Tarani Lanting