KUCHING : Seramai lapan orang pasukan perubatan dari China telah tiba di bandar ini semalam bagi membantu Sarawak menangani wabak Covid-19 di negeri ini.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Lee Wee Ju berkata, kesemua pakar ini akan berkongsi pengalaman mereka dalam mengendalikan kes berkaitan Covid-19.
“Mereka akan membantu kita daripada segi perkongsian idea serta memberi nasihat berkenaan dengan kaedah yang digunakan oleh kita di sini.
“Adalah penting untuk kita memanfaatkan kedatangan mereka ini kerana mereka agak ke hadapan dan mempunyai pengalaman dua bulan lebih awal daripada kita dalam berhadapan dengan wabak ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.
Menurutnya, pakar-pakar ini akan meluangkan masa untuk berkongsi pengalaman mereka dalam empat sesi berlainan.
Katanya, mereka juga akan mengadakan sesi melalui persidangan video bagi membolehkan petugas-petugas kesihatan daripada hospital lain di Bintulu, Sibu, Miri, Limbang, Kapit dan Sri Aman turut sama mendengar perkongsian ini.
Selain itu, mereka juga turut menjalankan perkongsian dengan pihak hospital swasta dan juga pengamal ubat-ubatan Cina tradisional di sini, katanya.
Tambah Lee, dengan adanya kunjungan daripada kumpulan pakar ini, kita di Sarawak akan mendapat kaedah baharu untuk memperbaiki sistem sedia ada bagi memerangi wabak Covid-19.
Sarawak amnya, dan Malaysia khasnya, tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti ini sebelum ini dan sudah pasti dengan adanya perkongsian daripada pasukan yang pernah berhadapan dengan situasi yang serupa, akan membantu kita untuk menghadapinya dengan lebih baik, ujar Lee.
Kata beliau, kumpulan pakar ini akan berada di Kuching sehingga Selasa sebelum berlepas ke Kota Kinabalu Sabah atas tujuan yang sama dan dijangka pulang semula ke China pada Jumaat.
Hadir sama semasa menyambut ketibaan pasukan perubatan di LTAK semalam ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Tan Kai.