
BINTULU: Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan dengan lori treler di Jalan Bintulu-Tatau berhampiran kedai perkakasan di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bintulu dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.45 pagi melibatkan lori treler tanpa muatan dan motosikal yang dinaiki dua pelajar Tingkatan 5.
“Siasatan awal mendapati lori treler tersebut dalam perjalanan dari Tatau menuju ke Pelabuhan Bintulu.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan lori di lorong kanan sebelum tercampak ke laluan lori treler dan dilanggar pada bahagian tayar belakang sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Bintulu.
“Manakala pembonceng motosikal mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan merbahaya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Lydia Allan di Balai Trafik Bintulu menerusi talian 086-338575 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di 086-318304.