
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan Datuk Michael Tiang Ming Tee akan mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2026 di Unicity, Jalan Wawasan pada 18 Febuari ini.
Tiang yang juga Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, majlis rumah terbuka yang diadakan pada hari kedua sambutan tahun baharu itu bermula 11.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Sehubungan itu, semua rakan dan penduduk Sibu dijemput hadir untuk memeriahkan rumah terbuka ini. Marilah kita bersama-sama berkongsi kegembiraan dan semangat Tahun Baharu Cina,” katanya.
“Beliau menyatakan bahawa pemilihan hari kedua Tahun Baharu Cina adalah amat sesuai memandangkan keesokan harinya umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadan.”
“Ini masa yang sesuai untuk kita berkumpul dan beramah mesra sebelum rakan-rakan Muslim kita menyambut Ramadan.
“Di Sarawak, kita sentiasa meraikan perayaan bersama-sama seperti Gawai, Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina. Inilah gambaran sebenar keharmonian dan perpaduan negeri kita,” jelasnya.
Tiang menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 1,500 pengunjung, berdasarkan pengalaman sebelum ini yang pernah mencecah antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung.
“Kita menyediakan pelbagai jenis makanan untuk semua kaum. Jadi orang ramai dialu-alukan datang dan menikmati hidangan yang disediakan,” katanya.
Terdahulu, Tiang bersama rombongan mengadakan kunjungan mesra ke kawasan komersial Sungai Merah bagi menyantuni penjaja, peniaga dan orang awam sambil mengagihkan angpau sebagai tanda berkat dan berkongsi kegembiraan sempena Tahun Kuda.
Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana cuaca setakat ini baik dan berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada kali ini akan membawa kesejahteraan serta kemakmuran kepada semua.
Oleh Akun Giman