
NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi membincangkan strategi pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke tahun satu bermula pada 2027, selaras dengan pelaksanaan kurikulum baharu persekolahan.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sesi berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan serta maklum balas pengusaha tadika bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar dan tersusun.
Beliau berkata secara keseluruhan, pengusaha tadika swasta menyatakan sokongan terhadap dasar berkenaan yang disifatkan sebagai langkah memperkukuh asas pendidikan awal kanak-kanak, namun KPM mengambil kira beberapa kebimbangan yang dibangkitkan, khususnya berkaitan penyelarasan tempoh peralihan murid daripada tadika ke sekolah rendah.
“KPM memandang serius setiap pandangan yang disuarakan dan akan meneliti isu-isu berkenaan secara terperinci bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh Grow Percuma Murid Prasekolah Seluruh Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata sesi libat urus itu mencerminkan komitmen KPM untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam merangka dasar pendidikan yang inklusif dan mampan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata kurikulum baharu persekolahan akan dilaksanakan sepenuhnya pada 2027 melibatkan murid tahun satu dan pelajar tingkatan satu di seluruh negara, manakala pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu telah bermula lebih awal iaitu pada tahun ini.
Terdahulu, KPM melaksanakan inisiatif pemberian 145,000 unit susu UHT Farm Fresh Grow secara percuma kepada murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang bagi menyokong aspek nutrisi dan tumbesaran kanak-kanak.
Fadhlina berkata inisiatif itu turut menjadi galakan kepada murid prasekolah untuk hadir ke sekolah serta memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima manfaat pemakanan yang dinikmati oleh murid di peringkat sekolah rendah.
Inisiatif berkenaan, katanya dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik sektor swasta iaitu Farm Fresh. – Bernama