BMW panggil balik ratusan ribu kereta di seluruh dunia akibat risiko kebakaran

Facebook
WhatsApp
GAMBAR fail ini menunjukkan logo jenama automotif Jerman BMW yang dipamerkan di sebuah pusat jualan BMW di Frankfurt am Main, barat Jerman, pada 4 November 2025. Pengeluar kereta Jerman, BMW, akan memanggil semula ratusan ribu kenderaan di seluruh dunia berikutan potensi risiko penghidup enjin mencetuskan kebakaran, kata jurucakap syarikat itu kepada AFP pada 11 Februari 2026. Foto fail AFP

MUNICH: BMW memanggil balik ratusan ribu kenderaan di seluruh dunia susulan kerosakan teknikal yang boleh menyebabkan kereta terbakar, menurut pengeluar kereta mewah itu pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sebanyak 28,582 kenderaan terjejas di Jerman, menurut BMW.

Syarikat itu tidak memberikan angka tepat bagi jumlah kenderaan yang terjejas di seluruh dunia, namun media industri Jerman, kfz-Betrieb, melaporkan kira-kira 575,000 unit mungkin terlibat.

Pemeriksaan produk mendapati terdapat kerosakan pada suis solenoid yang mengawal aliran elektrik dalam litar. Model yang terjejas termasuk BMW Siri 2 Coupe, beberapa varian Siri 3, Siri 4 dan Siri 5, Siri 6 Gran Turismo, sedan Siri 7 serta model X4, X5, X6 dan Z4, menurut pengeluar itu.

Selepas kerap dihidupkan, kehausan berlebihan boleh berlaku pada suis berkenaan, yang boleh menyukarkan atau bahkan menghalang enjin daripada dihidupkan.

Litar pintas juga boleh berlaku, yang boleh menyebabkan pemula menjadi terlalu panas secara setempat dan dalam kes paling buruk, mengakibatkan kenderaan terbakar ketika beroperasi, menurut BMW.

Dalam keadaan itu, pemandu mungkin menyedari asap ketika memandu atau selepas meninggalkan kenderaan dan BMW menasihatkan agar enjin tidak dibiarkan hidup tanpa pengawasan.

Kenderaan yang dilengkapi geganti pemula yang dihasilkan antara Julai 2020 hingga Julai 2022 berpotensi terjejas, selain kereta yang dipasang dengan pemula yang rosak semasa kerja pembaikan, menurut syarikat itu.

BMW sebelum ini turut memanggil balik ratusan ribu kenderaan pada September lepas susulan risiko kebakaran akibat pemula yang rosak.

Disebabkan keadaan itu, air didapati meresap masuk ke dalam motor pemula pada bahagian tertentu kenderaan terjejas sehingga menyebabkan kakisan.- Bernama-dpa

BMW bakal kurangkan 8,000 pekerja

BRUSSELS: Pengeluar kenderaan Jerman, BMW, akan mengurangkan kira-kira 8,000 pekerja dan kebanyakannya di Jerman, sebagai sebahagian daripada program pengurangan kos

Amaran gelombang haba di Seoul

SEOUL: Agensi cuaca negeri mengeluarkan amaran gelombang haba bagi kebanyakan kawasan di Seoul pada Rabu, iaitu amaran kedua bagi ibu negara