
SERIAN: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dilaporkan hilang di Kampung Tema Saan, Tebedu.
Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian, berkata laporan berhubung kehilangan mangsa diterima Balai Polis Tebedu kira-kira 3.28 petang semalam daripada bapa remaja terbabit.
“Pengadu yang merupakan lelaki tempatan memaklumkan anak perempuannya hilang dari alamat di Kampung Tema Saan, Tebedu.
“Mangsa kali terakhir dilihat memakai pakaian seragam sekolah dan membawa beg sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, usaha mengesan mangsa telah dijalankan di kawasan berhampiran, namun sehingga kini remaja itu masih belum ditemui.
“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang,” tambahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian di talian 082-874201 atau pegawai penyiasat kes, Insp Nur Munirah Pardanah, di talian 010-3604245.
Oleh Connie Chieng