
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai kanan sebuah jabatan agensi kerajaan termasuk seorang ketua pengarah kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana sekitar RM900,000 untuk kepentingan peribadi.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, sekitar 1.00 tengah hari tadi.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2024.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukan masing-masing dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja berjumlah sekitar RM900,000 untuk kepentingan peribadi,” menurut kenyataan itu yang dikongsikan menerusi akaun TikTok rasmi SPRM hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, dua individu terbabit juga didapati mengemukakan tuntutan palsu dan dokumen yang mengandungi butir matan palsu berjumlah sekitar RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Januari hingga 4 Februari tahun lepas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan tersebut dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta turut melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan berkaitan pecah amanah dan salah guna harta.
Azam berkata SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan susulan sekiranya terdapat bukti dan keterangan tambahan.- Bernama