
PETRA JAYA: Pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) yang diperkenalkan kerajaan Sarawak terus menunjukkan impak positif apabila mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah pendaftaran pelajar baharu, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di institusi pengajian tinggi (IPT) milik negeri.
Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin berkata, perkembangan tersebut berdasarkan maklum balas awal serta trend pendaftaran yang sedang berlangsung di beberapa IPT milik kerajaan Sarawak bagi sesi kemasukan tahun ini.
Menurut beliau, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan memperlihatkan peningkatan yang jelas dalam kalangan pelajar yang memilih jurusan berkaitan STEM berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.
Tambah beliau, peningkatan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat terhadap komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memperluas akses pendidikan tinggi, di samping memperkasa pembangunan modal insan berkemahiran tinggi yang diperlukan bagi menyokong agenda transformasi ekonomi negeri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa selain pelaksanaan pendidikan tinggi percuma di IPT milik negeri, Yayasan Sarawak turut menawarkan pelbagai bentuk bantuan kewangan pendidikan termasuk biasiswa penuh serta pinjaman pelajaran kepada anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian di peringkat tertiari.
Katanya, pendekatan menyeluruh ini bertujuan memastikan tiada pelajar tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian atas faktor kewangan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada generasi muda untuk meningkatkan taraf pendidikan dan sosioekonomi keluarga.
Lonjakan minat terhadap bidang STEM pula dilihat selari dengan keperluan semasa industri yang semakin menuntut kepakaran dalam teknologi, inovasi dan kejuruteraan, sejajar aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai negeri berpendapatan tinggi serta berteraskan ekonomi digital dan hijau. – UKAS